JUN 2022

Harga Minyak Naik Beri Kesan Pada Sektor Pembinaan


SIBU: Peningkatan harga minyak sawit  memberi kesan kepada sektor pembinaan apabila pekerja mereka berpindah ke sektor perladangan. 

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedaaan itu memberikan kesan kepada kontraktor yang terlibat dalam pembinaan beberapa pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sarawak. 

"Kesan kekurangan pekerja pembinaan ini dapat dilihat apabila terdapat beberapa projek pembinaan yang lewat disiapkan termasuk projek LPB. 

"Masalah ini harus diatasi segera bagi memastikan projek berkenaan tidak mengalami kelewatan. Sektor pembinaan perlu melakukan sesuatu untuk memastikan pekerja kekal. 

"Pihak industri harus memikirkan bagaimana untuk menjaga pekerja mereka termasuk memberi tawaran dan manfaat yang boleh mengekalkan pekerja,” katanya kepada pemberita pada hari kedua Jelajah FTRoadpedia Sarawak bersama pegawai Kementerian Kerja Raya di tapak projek jejambat Selangau, di sini,

Dalam perkembangan sama, Fadillah berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan LPB jajaran Sungai Kua ke Sungai Arip yang dilawatinya hari ini. 

Katanya, perkembangan projek pembinaan bagi jajaran tersebut baik dan kontraktor menyatakan komitmen untuk membuka laluan itu pada hujung Julai ini. 

"Kita berharap mereka (pihak kontraktor) dapat melaksanakannya," jelasnya. 

Beliau memberitahu, pihaknya akan terus memantau projek ini agar dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan walaupun menghadapi cabaran dengan kenaikan harga barang, kekurangan pekerja dan bahan mentah. 

Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula semalam hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan LPB Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Foto: Facebook Datuk Seri Fadillah

Sumber dari : Jiwa Bakti